Thursday, September 07, 2006

Kisah Malam Jumaat Di UIA

KISAH MALAM JUMAAT
DI KAMPUS UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA

-Abu Zuhri Shin

Cahaya suria masih merah dikaki langit disulami kehijauan Banjaran Titiwangsa disebelah utara kota Kuala Lumpur. Entah macamana, disuatu malam Jumaat dalam bulan April tahun alaf 2000, aku tergerak hati ingin ziarah sahabatku bernama Ikmal dikampus UIA Gombak. Tiada agenda khas kecuali aku mencintai saudaraku macam diri sendiri dari segi perjalanan sufiyya dan limpah baraka dari para guru Awliya. Jenerasi muda kini jauh dari kefahaman ilmu tasawuf. Nak kenal orang sufi lagi susah. Sebab ada beranika pendapat, pandangan dan kritikan terhadap ilmu sufi dan amalan yang salah. Imam Ghazali sudah menerangkan golongan yang tersasar dan terpedaya dalam bab al-ghurur dalam kitab Ihya. Dicampur dengan kemunculan puak modenis , wahabiyya dan pseudo sufi dibarat , ilmu tasawuf dianggap satu bidaah. Alhamdulillah, aku telah menempuhi detik getir dan kekalutan ini pada tahun 1970an. Dengan berkat doa serta bimbingan guru yang arif bi’Llah , kini aku sedang menyusuri jejak para salikin dan muridin dengan istiqamah.

Lepas salat maghrib dirumah dikaki banjaran titiwangsa, aku pun berwirid secara ringkas dan berdoa :

Allahumma ainni ala zikrika
wa syukrika wa husni ibadatika
( Ya Allah , beri pertolongan bagi
diriku berzikir mengingatiMu,
memanjat syukur pada nikmatMu dan
memperbaiki ibadatku kepadaMu ).

Kemudian aku membaca salawat Kanzul Haqaiq dari nukilan Shaykh Muhammad ibnul Habib, Shaykh pertama kepada guruku seperti berikut :

‘Allahumma salli ala sayyidina Muhammadin abdika wa rasulika nabiyyi ummiyyi wa ala alihi wa ashabi
wa sallim tasliman
adada khalqika wa ridha-a nafsika
wa zinata arasyika wa
midada kalimatika’.

Mudah-mudahan dengan zikir dan selawat ini membantuku dalam perjalanan fisabilillah malam jumaat. Orang lain mungkin sibuk baca yasin dan tahlil ,mendengar ceramah politik atau kempen reformasi. Yang lain mungkin menonton forum islam perdana dalam kotak tv. Dimanakah keberkatan malam ini berada ? Malam kebanyakan orang mukmin dan salihin berzikir ,bermunajat dan berwirid mahu mendekati Hadrat Ilahiyya. Mereka mahu mensucikan nafsu dan qalbu dari kesibukan duniawi dan tarikan sensasi manusiawi, media hiburan dan kelalaian waktu yang membunuh rohani.

Maka, beruntunglah mereka yang memulakan langkah pertama sang sufi. Apakah aku layak mengikut jejak mereka, para imam, shaykh ,awliya dan arifin macam imam ghazali , imam nawawi, ibnu athaillah, imam junaid, shaykh abdul qadir jilani, shaykh daud fatani, shaykh abdul samad palembani, ibnul arabi dan hamzah fansuri ?

Aku memecut perlahan kereta kancilku ditepi lebuhraya taman melati menuju kampus UIA, Gombak. Nama glamour sebab ramai teringin masuk ‘U’ tapi hanya dapat sebut ‘ I and you’. Sayang, setelah aku singgah dan jenguk bilik G33 diblok B, sahabatku Ikmal tiada didalam. Mana pergi dia agaknya ? Salat berjemaah dimasjid atau pergi jumpa kawan ? Tak apa, asal niat aku ikhlas kerana Allah Taala dapat pahala biar pulang dengan tangan kosong. Allah. Allah . Allah. Ya Hayyu ya Qayyum. Ya Dzal Jalai wal-Ikram. Ya Arhamar Rahimin. Engkau maha Mengetahui disebalik urusan sang hamba dhaif ini.

Dengan hati sedih, aku pun putar balik keretaku turun bukit menuju kemasjid baru uia yang jarak hanya 0.5 km dari asrama. Hebat juga masjid ini ,menaranya nampak dari jauh. Boleh isi lebih 50,000 jemaah. Warna biru langit. Waktu hampir masuk salat Isyak. Jadi aku ambil peluang salat jemaah dan buat zikir senyap disebalik tiang masjid. Orang tak nampak. Tiada gangguan. Juga aku boleh sandar. Habis juga Miftah al-Wirid aku baca dalam masa 20 minit lepas Isyak. Sekitar masjid, ramai siswa lelaki buat kelompok usrah atau muzakarah. Ada seorang dua khusyuk berdoa dan berzikir sendirian. Ini mesti ada wirid khas dari guru kesayangan mereka. Mungkin wirid Imam Ghazali atau Shaykh Abdul Qadir Jilani macam aku temui disebuah pondok diKelantan bulan April lalu. Siapa sangka ditahun 2000 ini kita dapat menilik kitab arab al-Fayudhat Rabbaniyya awrad amalan Tariqa Qadiriyya cetakan Darul Maarif tahun 1960an dulu.

Aku tak puas hati lalu bertanya kepada ustaz Mukhtar yang empuya pemilik kitab ini. ‘ Ustaz , masih adakah pewaris tariqat atau guru yang mengajar atau mengamalkan kitab ini di Malaysia pada zaman sekarang ? ‘ Dia menjawap dengan sedih, ‘ Aku jumpa kitab ini kat kedai, orang dah tak nak benda ini lagi. Halamannya sudah uzur dan kuning. Tapi masyaa’ Allah , isinya memang untuk mereka yang dahagakan pengisian rohani. Tuan punya pewaris ilmu ini mungkin sudah tiada lagi’. Aku turut simpati dengan keterangan ustaz tersebut.

Diakhir zikir dalam masjid, aku berdoa hiba dalam hati : “ Ya Allah, malam ini aku tak berhasil menemui sahabatku yang dihajati dikampus ini. Maka, pertemukan aku dengan sesiapa saja yang mencintaiMu dari kalangan pelajar yang ada’. Dalam hati, aku teringat nama saudara azmi kelantan , saudara ibrahim atau redhuan dari korea. Mungkin mereka boleh mengisi kekosongan ini . Aku tak pasti mana blok asrama mereka tinggal. Susah nak cari. Nak tanya semua orang, rasa segan.

Aku pun melangkah turun ditangga bucu kanan depan masjid. Turun tangga nak menuju tempat parking keretaku. Alhamdulillah, tepi koridor bangunan masjid ada sebuah kafe ala barat. Aku pun jenguk, biar aku rehat nikmati rezeki chicken soup dan teh tarik. Ya Allah ,aku telah pertama kali menghabiskan bacaan wirid melalui izin muqadim sidi umar pada tahun 1979 dimasjid UIA ini , maka tunjukkanlah rahsia barakaMu. Aku tak mengetahui langkah seterusnya. Aku teringat wirid fajar yang berbunyi:

Ya Awwalu ya Akhiru ya Zahiru ya Batin
–biyadika khair, yuhyi wa yumit.
Inna Allaha ala kulli syain qadir
(Ya Allah ..ditangan genggamanMu
terletak segala kebaikan . Engkau maha berkuasa menentu segala urusan)

Aku mulai mencecahkan sudu ke sup ayam cendawan dengan bacaaan BismiLlah. Tiba-tiba sekonyong-konyong ,muncul saudara Ikmal berjalan betul-betul dihadapan mejaku ! Masya Allah, sungguh cepat doaku ditunaikan Allah Taala. Aku mencari Ikmal atau dia yang mencari aku setelah hati kami digerakkan Allah ? Kenapa pertemuan dikafe bukan dibilik asrama atau dalam masjid ?

Rupanya Ikmal memang ada tujuan mulia singgah dikafe ini selepas selesai usrah dengan pelajar lain diasrama. Pelajar UIA memang diwajibkan berusrah dalam kurikulum. Rupanya Ikmal pergi kesana untuk ambil 2 naskhah fotostat buku- The Darqawi Way – dikedai berhampiran. Satu untuk dirinya dan satu lagi untuk sahabatnya bernama Azmi berasal dari Kelantan. Sama-sama belajar jurusan kejurute-raan tahun tiga.

‘ Assalamualaikum , Ikmal ! Allahu akbar. Dapat juga jumpa saudara walaupun aku gagal jumpa diasrama tadi !’ Lepas bersalam , aku peluk dia dengan erat dengan dakapan ukhuwah. ‘ Sila duduk, ikut sama aku makan atau minum. Sila buat pesanan , aku bayar ! Dia pun minta dari pelayan kafe itu dua keeping chicken pie dan segelas air milo panas.

Aku membelek buku fotostat bercorak sufi dalam bahasa Inggeris. Dia pinjam dari jemaah Murabitun Kuala Lumpur . SubhanaLlah , inilah tanda seorang faqir atau murid yang ikhlas mengaji. Dia dahagakan ilmu. Dia mahu tahu apa syarat dan rahsia jalan tariqa Darqawiyya Shadhiliyya yang masyur diAfrika dan Timur Tengah. Pengarang buku ini bernama Mulay Arabi ad-Darqawi hidup pada zaman 1700an seorang sufi besar dan pernah mendidik hampir 40,000 anak muridnya yang diberi izin membimbing manusia kejalan Malikul Haqq. Dia dikurnia Allah Taala menyibar marifa diBarat dan Timur. Ini satu kelebihan awliya tertentu dan dia juga insan unik dizamannya. Bagaimana jalan sufi ini sampai keMalaysia ? Dan dibincangkan oleh dua orang fuqara, seorang melayu dan seorang berbangsa china muslim ?

Mukadimmah buku – The Darqawi Way ini ditulis oleh Shaykh Abdul Qadir as-Sufi yang berbangsa eropah. Dia menerima Islam di Masjid Fez, Maghribi dan berguru dengan Shaykh Muhammad ibnul Habib. Kemudian berguru dan menghabiskan suluk sufiyya ditangan Shaykh al-Fayturi diBenghazi, Libya pada tahun 1977. Aku berbicara dengan Ikmal darihal ‘transmission of sufic teaching from one shaykh to another’. Semua ini telah didokumenkan dan dicatitkan dengan teliti oleh para shuyukh dijalan Darqawi Shadhiliyya kami. Tiada orang boleh menolak atau menjumpai kecacatan sanad atau dakwaan palsu/rekaan nafsu sendiri dalam perkara penting . jika seorang guru sufi berbohong maka senang kita kenal. Dan kita kena tinggalkan dia, kemudian cari guru lain yang bias membawa kita kehadrat keagungan ilmu, qudrah dan hikmah kurnia Allah Tabaraka wa Taala.

Aku mulai bicara dengan bertanya :
‘saudara Ikmal , cuba kau baca sajak pada mukaddimah buku ini dan beritahu apa yang kau faham ?’.




Oh Mulay al-Arabi ! I greet you.
The West greets the West.
Although the four corner had gone
And the season are joined
In the Tongue of the People
I welcome you –the man of the time.
Wild, in rags, with three hats
And wisdom underneath them.
You flung dust in the enemy’s face
Scattering them by the secret
Of a rare sunna the ulama’ forgot.
Oh Mulay al-Arabi ! The Pole greets the Pole
- the center is everywhere.

Aku pun memberi keterangan kepada bahasa isyarat yang dipakai orang sufi. Mereka jarang mahu menggunakan perkataan – aku, diriku atau dia. Mereka telah menfanakan dakwa atau wujud nafsu diri, maka mereka akan membicarakan kurnia Allah dan rahsia yang mereka rasai atau tempohi.

Ayat sajak diatas bermaksud : sang Guru Barat sekarang memberi salam dan penghormatan lansung kepada Mulay Darqawi yang juga berasal dari barat iaitu negeri Maghiribi. Mereka adalah mercu ilmu dan pemimpin agung dizaman masing-masing. Tanda mereka sudah mencapai makam sufi sejati. Jadi , apa pilihan atau tindakan sang murid sekarang setelah mengenali hajat yang terpendam ?

Baris sajak seterusnya berbunyi :

‘This is one hadra, one circle
one grain of sand beneath
the sandal of Muhammad
sallaLlahu alayhi wa salam’

Ayat diatas meletakkan semua ilmu dan kemuliaan serta rahsia jalan sufi yang dilalui dan diajarkan kedua Guru Shaykh ini adalah berasal dari limpahan keagungan Nabi sallallahu alayhi wa salam. Macam sebiji debu halus dibawah tapak kasut Nabi kita. Mereka begitu merendah diri, tawadhuk bila berhadapan dengan ukuran dan hubungan rohani atau zahir dengan seorang Rasul al-Mustafa.

Ada seorang sufi lain berkata –
‘ cukuplah jika aku dapat menjadi seorang yang mengikat tali kasut Rasulullah bagi merasakan kemuliaan yang Allah curahkan kepada hamba yang berkhidmat kepada seorang Rasul yang dikasihi Allah Taala’.



Shaykh Muhammad ibnul Habib pernah menulis dalam Kitab Diwannya :

‘Ukuran ilmu / makam / nur seorang wali qutub dengan Nur Rasul seperti satu titik air dari lautan samudera yang luas tak bertepi’.

Jadi semua dalil dan bahasa isyarat sufi adalah bagi mengukuhkan keyakinan dan himma sang murid supaya terus maju dan mujahadah bagi mencapai matlamat agung yang menanti, sesuai dengan seruanNya :

‘Ya ayyatatuhal nafsul muthmainna
Irji ila Rabbiki , radhiyyatan mardhiyya
Fadkhuli fi-ibadi , wadkhuli jannati’

Dan ayat :

‘Allahu waliyyul lazina amanu
Yukhriju minaz zulumati ilan-nur’.

Alhamdulillah, selepas habis minum, kami pun balik kebilik asrama Idrus. Kemudian berjumpa dengan Azmi , Fauzi dan Ibrahim. Sempat juga aku nasihatkan mereka agar sentiasa menilik apakah disebalik perjalanan orang sufi dizaman moden ini. Agar kita tidak diperlekehkan oleh jemaah politik, birokrasi, intelektual akademik yang gersang rohani, alim secular dan alim tablighi yang hilang peta dan izin guru sufiyya. Pendekata tidak mudah untuk pelahar universiti keluar dari jerat maklumat dan gelaran imej akademik yang mengabui ilmu haiqat sebenar.

Aku juga berpesan agar mereka menatap kembali apa doa Shaykh Daud Patani amalkan diakhir kitab Munyatul Musalli . aku hanya ingat sebaris saja :

Allahumma inni as-aluka taufiqa
ahlul-huda wa amala ahlil-yaqin
wa munasahata ahlit-tauba
wa azma ahlis-sabri
wa jiddan ahlil-khasyiati
wa irfana ahlil-ilmi hatta akhafaka.

Jam didinding blik Ikmal sudah melebihi jam 12.00 malam , maka aku pun minta diri untuk beredar. Esok kena kerja makan gaji dan punch kad jam 7.30 pagi. Tapi sebenarnya kita boleh mencuri atau membelahi masa yang lembut dengan gerak hati dan amalan zikir sirr serta menyembunyikan wujud kerdil ini dengan langkah seribu tatkala insan lain terlupa kepada saat-saat mustajab siang dan malam. Aku akhiri majlis muzakarah malam itu dengan ayat Quran –kenalilah para guru dan arifun yang meniru jejak Rasul iaitu :

‘Ya ayyuhan nabiyyu
Inna arsalnaka syahidan
wa mubasyiran
Wa naziran wa daiyyan
ilaLLahi bi-iznihi
Wa Sirajan muniran’

Yakni mereka yang menyeru insan atau mengajar ilmu al-haqq dengan penuh kesaksian dari Allah , dari Rasul , dari Awliya dan Imam besar. Mereka menyaksikan alam nasut dan malakut.

Kemudian ,mereka memberi khabar gembira akan kemuliaan insaniah yang Allah sembunyikan dalam tiap diri jika digali dan di suburkan dengan mujahadah ikhlas pasti bersinar hati mereka dengan furqan dan petunjuk. Mereka juga memiliki ilmu menilik perkara yang menyesatkan dan membinasa-kan manusia, jadi mereka beri amaran halus dan keras ikut keadaan.

Ramai umat sekarang tersalah anggap dapat Islam warisan datuk nenek dan ustaz pondok sudah cukup. Dapat salat dan berjemaah disurau atau masjid serta dengar pengajian/syarahan agama sudah hebat. Sudah selamat. Tapi belum lagi. Guru atau awliya yang menyeru kita kepada hadrat Allah amat menakutkan nafsu yang cintakan dunia. Mereka berpegang dengan amal atau kekayaan atau ilmu yang secebis..tapi bagi alim ulamak muhaqiqin mereka adalah laksana lampu bercahaya gemilang ( sirajan munira atau matahari bercahaya). Yakni ilmu dan ihwal rohaniah insan begini menerangi jalan hidup kita dengan kasih sayang, adab dan bertanggung jawab. Kena bersahabat dan bermuzakarah dengan mereka yang maju dihadapan.As-sabiqunal muqarrabun.


Jadi, tilik diri kita apakah sudah bersedia menjadi muridin , salikin, faqir ilaLlah atau salihin, muttaqin , siddiqin dan sehingga mencapai taraf tertinggi sang ariffin. Tak ada nama pun selamat asalkan ada ikatan hati dan nur dari mereka yang kita terima didikan kerana Allah Taala. Aku ingin mengakhiri catatan ini dengan ungkapan bernas Jalaluddin Rumi tokoh sufi Parsi dan Turki yang terkenal dengan kitab Mathnawi seperti berikut :

You are your own bird , you are your own prey and you are your own trap. You got the whole thing.

Beliau memberi isyarat bahawa setiap muslim yang beramal dan berjalan menuju keridhaan Tuhan boleh terbang tinggi , bebas dan mencapai maqam rohaniah para sufi jika kita ikhlas berjuang. Kita juga akan tersekat menjadi mangsa sendiri apabila dunia atau hawa nafsu menguasai diri yang rendah. Kita juga memasang perangkap sendiri dengan khayalan dan cita-cita duniawi yang menghalang kita dari menjejaki tariqa menuju Allah Taala. Tiada orang lain dapat menolong jika kita ambil keputusan untuk tidak berguru , berzikir , mengembara dan berkhidmat kepada para awliya serta alim ulama.

AlhamduliLlah, alam melayu kini tidak kurang dengan kebangkitan jemaah sufiyya yang tulin mengabungkan jihad ekonomi dan politik sunna. Islam tidak terpisah dari arus cabaran perdana yang melanda dunia. Rumi juga berkata :’islam is war and terror’ bermaksud islam ditegakkan atas jihad dan kuasa, baik menakluki musuh zahir atau batin. Yang batin kita sedia faham iaitu nafsu , syaitan dan seribu satu penyakit hati –nifaq, takut mati, kedekut, riyak dan berbagai lagi. Musuh zahir mungkin sulit ditewaskan kerana terlampau banyak ! Terpulanglah kepada pilihan saudara untuk memulakan langkah pertama.

Imam Ghazali berkata : orang yang baru menjejaki tariqa sufi ibarat bintang. Dia yang sudah jauh dihadapan ibarat bulan. Mereka yang sudah sampai kehujung tariqa ibarat matahari. Siapa yang jahil dan tak kenal jalan sufi ini , hatinya ibarat batu, keras degil dan susah diperbaiki.

No comments: